Isnin, Jun 7

Umat Islam, celaru & bercelaru / keliru

Hari ini umat Islam teramat celaru dan caca marba dalam mencari sumber rujukan. Umat Islam tidak lagi mensucikan orang yang berhak disucikan dan tidak lagi memuliakan orang yang berhak dimuliakan. Ambil sahaja Rasulullah saw dan ahlul baitnya yang memang dimuliakan dan disucikan di dalam al-Quran berdasarkan ayat:

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيراً

Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. (QS. Al-Ahzab ayat 33)

Dalam Sunan Tirmidzi hadis nombor 3205, menyebut tentang ahlul bait ini.

عن عمر بن أبي سلمة ربيب النبي صلى الله عليه و سلم قال لما نزلت هذه الآية على النبي صلى الله عليه و سلم { إنما يريد الله ليذهب عنكم الرجس أهل البيت ويطهركم تطهيرا } في بيت أم سلمة فدعا فاطمة و حسنا و حسينا فجللهم بكساء و علي خلف ظهره فجللهم بكساء ثم قال اللهم هؤلاء أهل بيتي فأذهب عنهم الرجس وطهرهم تطهيرا قالت أم سلمة وأنا معهم يا نبي الله ؟ قال أنت على مكانك وأنت على خير

Daripada Umar bin Abi Salamah, anak tiri Nabi SAW yang berkata “Ayat ini turun kepada Nabi SAW {Sesungguhnya Allah berkehendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlul Bait dan menyucikanmu sesuci-sucinya} di rumah Ummu Salamah, kemudian Nabi SAW memanggil Fatimah, Hasan dan Husain dan menutup mereka dengan kain dan Ali berada di belakang Nabi SAW, Beliau juga menutupinya dengan kain. Kemudian Baginda SAW berkata “Ya Allah Merekalah Ahlul BaitKu maka hilangkanlah dosa dari mereka dan sucikanlah Mereka sesuci-sucinya. Ummu Salamah berkata “Apakah Aku bersama mereka, Ya Nabi Allah?. Beliau berkata “Kamu tetap pada kedudukanmu sendiri dan kamu dalam kebaikan”.

Lihat pula ayat al-Quran ini:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, melainkan hanyalah kasih sayang (mawaddah) terhadap kerabat(ku)". (Surah Asy-Syuura: 23)

Tentulah kasih sayang itu bukanlah kasih sayang berasaskan permukaan sahaja melainkan kasih sayang yang mendalam iaitu berasaskan kepatuhan dan kesetiaan terhadap ahlul bait Rasulullah saw.

Kesucian dan kemuliaan ahlul bait juga disahkan oleh baginda dalam hadis-hadis sahih yang banyak. Antara lain, ‘Nashr bin Abdurrahman al-Kufi menceritakan kepada kami, Zaid bin al Hasan – iaitu al Anmathi – menceritakan kepada kami, daripada Ja’far bin Muhammad, daripada ayah Ja’far iaitu Muhammad, daripada Jabir bin Abdullah, ia berkata: Aku pernah melihat Rasulullah saw melaksanakan ibadah haji pada hari Arafah, saat itu beliau sedang berkhutbah di atas untanya; al Qashwa. Aku mendengar beliau bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan (sesuatu) untuk kalian, sepanjang kalian berpegang teguh kepada sesuatu itu nescaya kalian tidak akan pernah tersesat, iaitu kitab Allah dan itrati keluargaku.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3786, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.

Hadis bernombor 645 daripada Musnad Imam Ahmad mengungkapkan: Fadhl bin Dukain menceritakan kepada kami, Yasin al ‘Ijli menceritakan kepada kami dari Ibrahim bin Muhammad bin al Hanafiah, dari bapaknya dari Ali r.a, dia berkata: Rasulullah saw bersabda: ‘Al Mahdi berasal dari kami ahlul bait. Allah menerima taubat dan memberi taufik kepadanya pada malam hari.’ Sanad hadis ini adalah sahih dan kalimat yuslihuhullahu fi lailatin pada matan hadis menurut Syarah as Sanadi oleh Ibnu Katsir menjelaskan ia bermaksud: ‘Aku menerima taubatnya, taufik dan ilham kepada akalnya yang sebelumnya tidak diberikan kepadanya.’ (Ahmad bin Muhammad bin Hanbal 2006: 767)

Hari ini umat Islam jadi begini - lemah, tidak berdaya, dihempuk dan ditipu musuh orag kafir dan munafik - kerana selepas kewafatan Rasulullah saw sumber rujukan yang mulia dan suci tidak lagi dirujuk dan dipatuhi.

Sikap mengkultuskan orang yang tidak suci dan tidak mulia (pada sesetengah ulama) menjadikan umat Islam dalam kedudukan beku, jumud dan tidak mahu menilai diri sendiri. Seruan muhasabah dan permintaan untuk menilai kembali pandangan terdahulu bukan sahaja dipersalahkan tetapi dikecam sebagai 'terkeluar dari jalur Islam'. Kesempitan, bahkan ekstrimisme ini berlanjutan dan diutuhkan oleh sesetengah ulama ortodoks. Kita mesti memerdekakan diri kita untuk membuat penilaian. Berhenti sejenak membuta tuli percaya kepada ulama tertentu, renungi ayat al-Quran dan hadis yang memang banyak itu. Proses mencari dan memahami kebenaran memang melelahkan, tetapi harus dilakukan, kerana kita akan ditanyai Tuhan.

Saya mengalu-alukan tuntutan untuk melakukan penilaian ke atas pandangan ulama; kerana bukan semua ulama suci dan boleh dimuliakan. Untuk melakukan penilaian, penggunaan akal yang telah dikurniakan Allah harus disertakan. Pemanfaatan akal ini mesti disandarkan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis Nabi Muhammad yang benar.

Bermulalah dari ayat dan hadis-hadis yang telah dikemukakan di atas sambil bukalah fikiran untuk menilai setiap sudut dan penjuru kehidupan kita.

Pernahkah kita berfikir, benarkah apa yang kita lakukan hari ini benar-benar adalah benar, setelah kita terlalu jauh dari manusia yang benar-benar suci dan benar-benar mulia iaitu Rasulullah saw?

Fikir-fikirkan dan semoga tuan-tuan dirahmati Allah dan ahli keluarganya dalam proses berfikir dan menilai itu