Khamis, Jun 10

Tanggungjawab Suami & Isteri yg Soleh

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Pembentukan rumahtangga yang didasari dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan menjamin lahirnya kasih sayang, keharmonian dan iklim pendidikan yang sihat di dalam pelbagai aspek. Inilah suasana yang subur untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak ke arah pertumbuhan yang sihat dari segi roh, akal dan jasmani. Di samping anak-anak, dengan wujudnya suasana seperti ini, ibu bapa di dalam rumahtangga itu juga akan terselamat dari dipengaruhi oleh gejala-gejala yang tidak baik. Justeru itu, ajaran Islam akan dapat dilaksanakan atau disempurnakan.

Benar sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah menyempurnakan sebahagian dari agama (deen)nya, maka beliau hendaklah bertakwa kepada Allah pada sebahagian yang lain yang masih tinggal."

Dari rumahtangga yang bahagia inilah akan melahirkan Baitul Muslim iaitu rumahtangga Islam. Al-Imam Hasan Al-Banna ada berkata, "Tegakkanlah negara Islam dalam diri kamu sebelum menegakkan negara Islam dalam masyarakat kamu."

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w. terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab suami yang soleh, yang perlu di laksanakan untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.
2. Mempergauli isteri dengan baik dan halus.
3. Memberi makan dan pakaian yang secukupnya.
4. Tidak memperolok-olok atau merendahkan isterinya.
5. Mengarahkan atau mengingatkan isterinya dengan nada yang lembut.
6. Bersabar di atas tingkahlaku isteri yang tidak menyenangkan.
7. Mengajar isteri akan agama (deen) dan hukum-hukumnya (fekah).
8. Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah mencari-cari jalan untuk menyusahkannya.
9. Menahan pandangan.
10. Memelihara kemaluannya.
11. Tidak kedekut atau terlalu bermewah-mewah dalam memberi nafkah makan minum, pakai, tempat tinggal serta perabut untuk anak dan isteri.
12. Kasih sayang, mesra serta sentiasa mengambil berat tentang mereka.
13. Tidak terburu-buru dalam menerima fitnah (pengaduan) serta bertindak segera tanpa usul selidik dahulu.
14. Tidak gemar memandang perempuan-perempuan yang lain.
15. Tidak minum arak, berjudi, merokok dan tidak suka buang masa dengan kerja sia-sia.
16. Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.
17. Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.
18. Cemburu dalam hal-hal yang mendatangkan maksiat terhadap dirinya, anak dan isterinya.

Oleh itu setiap lelaki yang beriman perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu Islam, akhlak yang mulia dan hati yang bersih dan hidup, supaya setiap tanggungjawab di atas dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna.

Wanita Solehah ibarat sekuntum bunga yang harum yang telah di jaga dan di pelihara dengan baik. Perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Wanita Solehah adalah mereka yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Wanita Solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah s.w.t., bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif terhadap poligami dan bersedia berkongsi kasih sayang jika di takdirkan berlaku di dalam rumah tangga.Menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiyyah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.

Wanita Solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian melintasi lelaki, agar mereka tercium bau harumnya, maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandangnya itu adalah zina"

"Perempuan yang melabuhkan pakaiannya dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan muhrimnya) adalah seumpama gelap gelita di hari qiamat, tiada nur baginya."

Wanita Solehah mestilah melengkapkan diri dengan ilmu akademik, sains dan teknoloji, kedoktoran, kejururawatan dan pendidikan.Ilmu-ilmu ini amat penting untuk pembangunan masyarakat Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah.Kedoktoran dan kejururawatan amat di perlukan untuk merawat pesakit-pesakit terutama wanita Islam.

Bidang pendidikan pula amat di perlukan untuk mendidik generasi baru umat Islam kearah melahirkan satu generasi seperti generasi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

Wanita Solehah bersedia menjadi ibu mithali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan aqidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.

Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah solehah di dalam rumah hingga menjadi "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiyyah.

Wanita Solehah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu solehah tetapi dia juga menjadi murabbi dan da'ie. Sentiasa sebuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah untuk mengajak para wanita lain agar mereka bersama-sama menjadi wanita-wanita yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.

"Sesungguhnya tangan yang menghayun buaiyan ini boleh mengoncang dunia"




inspirasi hati

Barisan JIHAD

Daripada Tsauban r.berkata: " Rasulullah saw bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya: "Apakah kerana kami sedikit pada ketika itu" Nabi saw menjawab: "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'". Seorang sahabat bertanya: "Apakah wahan itu hai Rasulullah?". Nabi saw menjawab: "Cinta dunia dan takut pada mati". (riwayat Abu Daud)

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawa Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah tiada alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain. (riwayat Muslim)




barisan jihad

Muraqabah Terhadap Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjadi mukmin sejati, perlu kepada pengorbanan dan usaha-usaha yang berterusan, iaitu berkorban dan berusha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Muraqabah terhadap Allah s.w.t adalah sifat jiwa seorang mukmin.Dia sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah s.w.t mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain.

Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah s.w.t nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah s.w.t.Ingatlah ketika di sini nanti lidah menjadi kelu, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya.

Terbongkarlah rahsianya!
Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah s.w.t.

Nabi s.a.w pernah berpesan yang bermaksud "Seorang mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam mukmin." Maknanya , ketika dalam hati sesaorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah s.w.t. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah s.w.t melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiyyah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah s.w.t seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Sahabat yang dihormati,
Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah s.w.t mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah.Nabi s.a.w di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah s.w.t. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para dai'e untuk merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah.

Sayydina Omar al- Khattab berkata "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari qiamat" Setiap Mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari qiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).

Kecemerlangan hidup manusia sebagai hamba Allah s.w.t adalah terletak kepada ketaatan pada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mematuhi tanpa soal Kitab Allah dan sunnah NabiNya.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t" (hadis riwayat Imam at- Turmudzi)

Imam Mubarakfuri berkata "Orang yang lemah adalah bersambong dengan lemahnya ketaatan kepada Allah s.w.t dan selalu ikut hawa nafsunya tidak pernah minta ampun kepada Allah s.w.t bahkan selalu berangan-angan bahawa Allah s.w.t mengampunkan doas-dosanya"

Sahabat,
Panjang angan-angan atau berangan-angan adalah satu sifat peribadi yang tidak di sukai oleh Nabi s.a.w, mereka-mereka yang memiliki sifat ini sebenarnya malas berusha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.Setiap barang yang berharga perlu di bayar dengan harga yang mahal, kejayaan untuk mendapat sekeping ijazah perlu di sertakan dengan usaha yang gigih dan berterusan, begitu juga Syurga Allah, untuk memilikinya perlu pengorbanan, jihad yang berterusan, mujahadah,muraqabah dan muhasabah.Di dalam Syurga yang penoh nikmat dan rahmat hanya layak di duduki oleh mereka-mereka yang memiliki hati yang salim, hati yang bersih, hati yang ikhlas dan hati yang bebas daripada syrik kepada Allah s.w.t.

Akhir kata, marilah kita beramal dengan amalan Rasulullah s.a.w yang sentiasa mengajar kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t maksudnya " Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketakwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak di kabulkan"
(Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Abu Abd Rahman, Abdullah bin Umar bin Khatthab r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

“Dahulu sebelum kamu, ada tiga orang berjalan-jalan kemudian mereka pergi ke sebuah gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk kedalamnya. Kemudian tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka tidak dapat keluar.

Salah seorang daripada mereka berkata “Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu sekalian daripada bencana ini kecuali apabila kamu sekelian berdoa kepada Allah s.w.t dengan menyebutkan amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan.

Salah seorang antara mereka telah berdoa :
‘Wahai Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu kepada kedua-duanya dahulu, sebelum saya memberikan kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari saya terlambat pulang daripada mencari kayu dan saya dapati kedua-duanya sudah tidur.Saya terus memerah susu untuk minuman mereka. Kerana saya mendapati mereka berdua tidur maka saya pun tidak mahu membangunkan mereka. Kemudian saya berjanji tidak akan memberi minum susu itu samaada kepada keluarga maupun kepada anak-anak sebelum saya memberi minum kepada ayah bonda.’
‘Saya menunggu ayah dan bonda, hingga terbit fajar barulah kedua-duanya bangun sementara anak-anak menangis, mereka datang kepada saya. Setelah mereka bangun ,saya berikan minuman susu kepada kedua-duanya. ‘
‘Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan wajah-Mu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini.’
Maka bergeraklah sedikit batu itu tetapi, masih belum membolehkan mereka keluar dari gua itu.

Orang kedua pula merayu kepada Allah s.w.t dengan bermunajat :
‘Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu perempuan yang sangat saya cintai, kemudian saya selalu memujuknya untuk melakukan zina tetapi dia selalu menolaknya. Selang beberapa tahun dia di timpa kesusahan menyebabkan dia datang kepada saya meminta bantuan. Lalu saya berikan kepadanya 120 dinar, dengan syarat dia mahu berzina dengan saya. Kali ini dia berada dalam keadaan terdesak menyebabkan dia pun bersetuju.
Ketika kami hampir-hampir melakukan perbuatan yang hina itu dalam keadaan saya berada di antara kedua-dua kakinya dia berkata :
‘Takutlah kamu kepada Allah dan jangan kau robekkan selaput daraku kecuali dengan cara yang benar’
Kemudian saya meninggalkannya, padahal dia seorang yang saya sangat cintai dan saya telah meredhakan bantuan yang saya berikan kepadanya.’
‘ Wahai Allah, jika saya buat seperti itu kerana mengharapkan redha-Mu, gerakkanlah batu yang menutup gua ini.’
Maka bergeraklah batu itu lagi sedikit tetapi mereka masih belum dapat melepaskan diri keluar dari gua itu.

Orang ketiga juga berdoa. :
‘Wahai Allah, saya menggaji beberapa orang pekerja dan semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna keculi ada seorang yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gaji nya terlebih dahulu. Kemudian gaji itu saya laburkan dalam perniagaan sehingga menjadi banyak. Selang beberapa lama dia datang dan berkata :
‘Wahai hamba Allah berikan gaji saya yang dulu itu. ‘
Saya berkata : ‘Semua yang kamu lihat itu baik unta, lembu, kambing termasuk budak yang mengembalakannya ialah gajimu.’
Dia berkata : ‘Wahai hamba Allah, janganlah engkau mempermainkan saya.’
Saya menjawab : ‘Saya tidak mempermainkan kamu.’
Kemudian dia pun mengambil semuanya dengan tidak meninggalkan sisa sedikit pun.
‘Wahai Allah jika saya berbuat itu kerana mengharapkan redha-Mu, maka gerakkanlah batu itu.’
Akhirnya batu itu pun bergerak dan mereka dapat keluar dari gua itu.”

Berdasarkan kisah di atas yang di ceritakan oleh Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabat baginda, dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran seperti berikut :

1.Kita di anjurkan untuk memanjatkan doa pada saat-asaat genting dan sukar, atas dasar melaksanakan perintah Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu”
(Surah Ghafir ayat 60 )

2.Menjalankan hubungan dengan Allah dengan cara yang di syariatkan, yakni dengan amal yang soleh.

3.Takwa merupakan faktor penyelamat, terutama berhadapan dengan situasi yang sukar.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan jalan keluar.”
(Surah at- Talaq ayat 2)

4.Keutamaan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa adalah lebih daripada yang lain.

5.Ijarah, merupakan satu akad yang di haruskan dalam Islam , untuk memperoleh menfaat dalam waktu tertentu dengan bayaran setimpal.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak) mu untukmu, maka berikanlah kepada mereka upahnya”
(Surah at-Taiaq ayat 6)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Ada tiga golongan yang aku menjadi musuh mereka pada hari qiamat, antaranya : Seseorang yang mengupah manusia, namun setelah di selesaikan tidak di bayar upahnya.”

6.Menepati janji merupakan tanda kesempurnaan iman.

7.Seorang Muslim bertanggungjawab menjalankan amanah yang di berikan kepadanya.

8.Amalkan berlapang dada dalam urusan pergaulan dengan orang lain.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Untuk menjadi hamba Allah yang taat maka kita perlulah melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram. Bersihkanlah diri kita dari dosa dengan memohon ampun kepada Allah s.w.t. dan janganlah menzalimi orang lain nescaya dihari akhirat nanti kita akan dihitung di bawah cahaya . Allah s.w.t akan mengasihi hamba-hamba-Nya diakhirat nanti apabila mereka berkasih-kasihan didunia ini semata-mata kerana Allah.

Sahabat yang dihormati,
Sebagai seorang manusia iman ada masa naik dan turun. Kadangkala kita melakukan dosa tanpa kita sedari, dari itu sentiasalah beristighfar siang dan malam kerana Nabi s.a.w beristighfar seratus kali sehari. Buangkanlah segala perasaan buruk sangka dan hasad dengki dalam diri kita dan sifat-sifat keji yang lain nescaya kita akan menjadi orang yang mulia disisi Allah dan manusia lain pun akan menghormati dan memuliakan pada kita.

Kita hendaklah yakin bahawa semua rezeki datangnya dari Allah s.w.t. Allah s.w.t akan mengurniakan rezeki yang lumayan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dijalan yang tiada disangka-sangka dengan syarat kita hendaklah menjadi orang yang bertakwa, sentiasa bertawakkal kepada Allah dan sentiasa bersih dari hadas (kecil dan besar). Orang yang sentiasa berwudhuk akan dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t.

Sahabat yang dimuliakan,
Sifat marah adalah salah satu sifat tercela. Apabila kita marah cepat-cepatlah mengambil wudhuk kerana kepanasan marah dapat disejukkan dengan air. Syaitan amat suka melihat anak Adam berada dalam keadaan marah kerana dengan marah, manusia akan hilang pertimbangan dan bertindak mengikut nafsu dan ianya akan membawa kepada kebinasaan. Allah s.w.t amat kasih pada hamba-hamba-Nya yang dapat mengawal kemarahan dengan mohon perlindungan daripada-Nya. Dihari kiamat nanti kita akan terselamat dari kemurkaan Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Do’a dan munajat adalah senjata orang mukmin. Kita dituntut untuk sentiasa berdo’a dan bermunajat kepada Allah s.w.t.kerana kita amat berhajat kepada pertolongan Allah, tanpa pertolongan Allah siapalah kita ini, hamba yang lemah dan dhaif dan tidak bermaya disisi Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo'a apabila dia berdo'a kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."

Sebelum do’a dan munajat kita diterima oleh Allah s.w.t. pastikan kita tidak memutuskan silaturahim dengan kaum keluarga, jauhkan tidak bertegur sapa selama 3 hari, jangan derhaka kepada ibu bapa dan makanan dan minuman yang masuk dalam perut adalah makanan dan minuman yang halal. Termasuk juga sumber rezeki yang diperolehi untuk membeli makanan dan minuman mesti dari sumber yang halal.Termasuk meninggalkan makanan dan minuman yang subhah.

Sahabat,
Apabila kita berdo’a hingga menitiskan air mata kerana dosa dan kesalahan kita kepada Allah, dan takut pada azab Allah, Allah akan mengampunkan dosa kita dan kita akan termasuk salah satu golongan yang akan mendapat perlingungan Allah di hari kiamat nanti. Mereka yang sabar ketika ditimpa sakit juga akan mendapat pengampunan dari dosa-dosanya yang lalu.

Jika kita beribadah kepada Allah s.w.t. kerjakanlah dengan hati yang kusyuk dan tawaduk. Fokuskanlah hati dan jiwa sepenuhnya kepada Allah s.w.t sehingga seolah-olah kita melihat Allah s.w.t. Seandainya hati kita belum sampai ketahap ini, maka yakinilah bahawa Allah s.w.t. sedang melihat dan memerhatikan diri kita, dengan ini kita akan termasuk golongan muhsinin (ikhlas).

Janganlah membuka keaiban saudara kita, mengadu domba, mengumpat dan memfitnah nescaya Allah s.w.t. akan menutup keaiban kita dihari kiamat dan kita akan dijauhi dari seksaan api Neraka. Sebahagian daripada penghuni Neraka adalah disebabkan mereka tidak mahu menjaga lidahnya ketika didunia iaitu suka membuka keaiban orang , mengadu domba, mengumpat dan memfitnah orang lain.

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya).

Dikira sebesar-besar kebaikan disisi Allah s.w.t apabila kita memperelokkan budi pekerti, merendahkan diri dan sabar diatas bala dan musibah dan ujian-ujian daripada Allah keatas diri kita.Janganlah menjadi orang yang buruk akhlaknya dan sedikit ketaatannya terhadap perintah-perintah Allah s.w.t kerana mereka-mereka ini akan mendapat kutukan daripada Allah s.w.t.

Akhir sekali jadilah setiap diri kita hamba Allah yang dermawan. Pergunakanlah harta yang di miliki untuk berzakat, bersedekah dan beramal jariah kerana sesungguhnya amalan mulia ini akan melahirkan hubungan silaturahim dan ukuwah Islamiyah. Sebaik-baiknya menghulur dengan tangan kanan sehinggakan tangan kiri tak tahu. Percayalah amalan mulia ini akan mendapat dua kebaikan iaitu meredakan kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat dan di akhirat nanti ianya termasuk golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi Allah,
Semoga kesejahteraan, keberkatan serta keredhaan Allah sentiasa melimpahi dan membahagiakan sahabat semua.

Untuk menjadi hamba Allah, tanggungjawab kita adalah sentiasa menyembah Allah serta beribadah semata-mata kerana-Nya. Diri kita mestilah dapat menahan segala macam godaan yang membuatkan jiwa dalam keraguan.Jika jiwa ragu-ragu tidak akan dapat menghasilkan ibadah yang baik dan diredhai Allah.Sedangkan melaksanakan ibadah perlu kepada ketenangan rohani serta jasmani. Ini hanya mampu dilakukan oleh orang yang bertawakal kepada Allah.

Tawakal menurut Islam membawa maksud meletakkan keyakinan serta menyerahkan kepada ketentuan Allah. Orang yang bertawakal memiliki keyakinan yang mantap terhadap janji-janji Allah. Dia bergantung sepenuhnya kepada Allah dan tidak bimbang dengan pandangan yang menakutkan dan tidak pula menghiraukan pujukan syaitan. Dari itu jiwa akan menjadi tenang serta terbuka luas peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.

Sahabat,
Awasilah dengan pengertian yang salah mengenai tawakal. Tawakkal bukan bererti berpeluk tubuh dan menanti datangnya sebarang peluang tanpa usaha. Sedangkan tawakal bererti berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segala keputusan kepada Allah s.w.t. serta percaya akan pertolongan Allah.

Jangan keliru dengan memisahkan usaha dengan tawakal. Telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah s.a.w menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Hayatilah maksud hadis dari Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakkal kepada Allah.”

Dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan menjadi orang yang paling kaya hendaklah lebih mempercayai kekuatan dirinya.”

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“… Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
(Surah al-Maidah ayat 23)

Sahabat yang dimuliakan,
Lihatlah pula bahagian tawakal yang di jelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Minhaju Abidin’.Tawakal ini merangkumi tiga sudut :

Pertama. Tawakal mengenai qismah (nasib atau takdir).
Yakin terhadap keputusan Allah yang tetap tidak berubah. Apa jua yang telah ditentukan Allah sejak azali lagi pasti akan kita terima. Maka, bertakwa kepada Allah adalah wajib, kerana segala yang digariskan Allah dalam ‘Lauhul Mahfudz’ adalah benar.

Kedua. Tawakal dalam pertolongan Allah.
Misalnya dalam keadaan genting berjuang atau dalam apa bentuk kesempitan, Allah menjanjikan pertolongan bagi kita. Sekiranya kita menghadapi suasana begini, keyakinan mestilah dibulatkan, jauhi keraguan dan janji Allah itu pasti benar-benar berlaku. Bagaimana Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat berusaha dan bertawakal dengan bersungguh-sungguh dalam perang Badar, maka Allah s.w.t. hantar bantuan para Malaikat untuk mengalahkan orang-orang kafir.

Ketiga. Tawakal dalam hal rezeki.
Sesungguhnya di samping menetapkan perintah-Nya. Allah telah menjamin hamba-Nya dengan rezeki yang mencukupi sebagai memberikan kekuatan dan keampunan melaksanakan ibadah. Ini bertepatan denga firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah ath-Talaq ayat 3)

Sahabat,
Jadilah diri kita umat yang hidup tenteram dan tidak terpengaruh dengan perubahan yang memesongkan matlamat deen Islam.

Selesaikan masaalah ibadah dan tanggungjawabmu tanpa dihalang oleh apa jua godaan.Nanti pasti kita akan menjadi golongan yang kuat, bebas dan merdeka serta mampu membawa kesejahteraan kepada kehidupan insan.

Sesungguhnya yakinilah bahawa :
*Dunia seisinya beserta akhirat adalah dalam kekuasaan Allah.
*Semua makhluk adalah hamba Allah.
*Urusan rezeki dan apa jua persoalannya adalah dalam susunan dan kekuasaan Allah.
*Allah sebagai Penguasa dan Pemilik alam semesta, segala yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi.

Ambillah pengajaran dan perbualan berikut ;
Abdullah bin Umar bertanya, “Bagaimana jika engkau panjang umur dan hidup ditengah-tengah orang yang suka menimbun harta untuk bertahun-tahun disebabkan lemah keyakinannya dengan janji Allah?”

Imam Hasan al-Basri menjawab, “Allah melaknat orang-orang yang tidak mempercayai jaminan-Nya.”

Imam Uwes Qarni r.a pula menyatakan, “Meskipun engkau beribadat sebanyak bilangan penghuni langit dan bumi sekalipun, tidak diterima ibadahmu sebelum engkau mempercayai jaminan Allah.”

Bertanya pula seorang sahabat,”Bagaimana tanda orang yang percaya dengan jaminan Allah.?”

Jawab Imam Uwes Qarni, “Dia sentiasa merasa tenteram dan aman dengan jaminan Allah. Tiada suatu pun yang memalingkannya hingga ia mempunyai banyak kelapangan masa beribadat kepada Allah s.w.t.”

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon kepada Allah semoga kita diberi-Nya kebaikan serta petunjuk agar sentiasa meyakini kekuasaan-Nya. Segala pergantungan jiwa kita seluruhnya hanya terhadap Allah dan tidak dipesungkan kepada selain dari perlindungan Allah.




laiilahhaillallah

Hadis Muthahharah, daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid r.a telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah s.a.w yang mana dia telah menyatakan tujuannya :" Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku didunia dan akhirat." Maka baginda s.a.w telah bersabda kepadanya, " Tanyalah apa yang engkau kehendaki."
Dia berkata :
"AKU MAHU MENJADI ORANG ALIM"
Baginda s.a.w menjawab :
"TAKUTLAH KEPADA ALLAH MAKA ENGKAU AKAN MENJADI ORANG YANG ALIM"
Dia berkata :
"AKU MAHU MENJADI ORANG PALING KAYA"
Baginda s.a.w menjawab :
"JADILAH ORANG YANG YAKIN PADA DIRI MAKA ENGKAU AKAN JADI ORANG PALING KAYA"
Dia berkata :
"AKU MAHU JADI ORANG PALING ADIL"
Baginda s.a.w menjawab :
"KASIHANILAH MANUSIA YANG LAIN SEBAGAIMANA ENGKAU KASIH PADA DIRI SENDIRI MAKA JADILAH ENGKAU SEADIL-ADIL MANUSIA"
Dia berkata :
"AKU MAHU MENJADI ORANG YANG PALING BAIK"
Baginda s.a.w menjawab :
"JADILAH ORANG YANG BERGUNA KEPADA MASYARAKAT MAKA ENGKAU AKAN JADI SEBAIK-BAIK MANUSIA"
Dia berkata :
"AKU MAHU MENJADI ORANG YANG ISTIMEWA DI SISI ALLAH"
Baginda s.a.w menjawab :
"BANYAKKAN ZIKRULLAH NESCAYA ENGKAU AKAN JADI ORANG ISTIMEWA DI SISI ALLAH"
Dia berkata :
"AKU MAHA DI SEMPURNAKAN IMANKU"
Baginda s.a.w menjawab :
"PERELOKKAN AKHLAKMU NESCAYA IMANMU AKAN SEMPURNA"
Dia berkata :
"AKU MAHU TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG YANG MUHSININ (BAIK)"
Baginda menjawab :
"BERIBADAHLAH KEPADA ALLAH SEOLAH-OLAH ENGKAU MELIHATNYA DAN JIKA ENGKAU TIDAK MERASA BEGITU SEKURANGNYA ENGKAU YAKIN DIA TETAP MELIHAT ENGKAU MAKA DENGAN CARA INI ENGKAU AKAN TERMASUK GOLONGAN MUHSININ"
Dia berkata :
"AKU MAHU TERMASUK DALAM GOLONGAN MEREKA YANG TAAT"
Baginda s.a.w menjawab :
"TUNAIKAN SEGALA KEWAJIPAN YANG DI FARDUKAN MAKA ENGKAU AKAN TERMASUK DALAM GOLONGAN MEREKA YANG TAAT"
Dia berkata :
"AKU MAHU BERJUMPA ALLAH DALAM KEADAAN BERSIH DARIPADA DOSA"
Baginda berkata :
"BERSIHKAN DIRIMU DARIPADA NAJIS DOSA NESCAYA ENGKAU AKAN MENEMUI ALLAH DALAM KEADAAN SUCI DARI DOSA"
Dia berkata :
"AKU MAHU DI HIMPUN PADA HARI QIAMAT DI BAWAH CAHAYA"
Baginda s.a.w menjawab :
"JANGAN MENZALIMI SESAORANG MAKA ENGKAU AKAN DI HITUNG PADA HARI QIAMAT DI BAWAH CAHAYA"
Dia berkata :
"AKU MAHU DI KASIHI OLEH ALLAH PADA HARI QIYAMAT"
Baginda menjawap :
"KASIHILAH DIRIMU DAN KASIHILAH ORANG LAIN NESCAYA ALLAH AKAN MENGASIHANIMU PADA HARI QIYAMAT"
Dia berkata :
"AKU MAHU DI HAPUSKAN SEGALA DOSAKU"
Baginda menjawap :
"BANYAKKAN BERISTIGHFAR NESCAYA AKAN DI HAPUSKAN (KURANGKAN) SEGALA DOSAMU"
Dia berkata :
"AKU MAHU MENJADI SEMULIA-MULIA MANUSIA"
Baginda menjawap :
"JANGAN MENGESYAKI SESUATU PERKARA PADA ORANG LAIN NESCAYA ENGKAU AKAN JADI SEMULIA-MULIA MANUSIA"
" Dia berkata
"AKU MAHU MENJADI SEGAGAH-GAGAH MANUSIA"
Baginda s.a.w menjawab :
"SENTIASA MENYERAH DIRI (TAWAKKAL) KEPADA ALLAH NESCAYA ENGKAU AKAN JADI SEGAGAH-GAGAH MANUSIA"
Dia berkata :
"AKU MAHU DI MURAHKAN REZEKI OLEH ALLAH"
Baginda s.a.w menjawab :
"SENTIASA BERADA DALAM KEADAAN BERSIH (DARI HADAS) NESCAYA ALLAH AKAN MEMURAHKAN REZEKI KEPADAMU"
Dia berkata :
"AKU MAHU TERMASUK DALAM GOLONGAN MEREKA YANG DI KASIHI ALLAH DAN RASULNYA"
Baginda s.a.w menjawab :
"CINTAILAH SEGALA APA YANG DISUKAI OLEH ALLAH DAN RASULNYA MAKA ENGKAU TERMASUK DALAM GOLONGAN YANG DI CINTAI OLEH MEREKA"
Dia berkata :
"AKU MAHU DI SELAMATKAN DARI KEMURKAAN ALLAH PADA HARI QIYAMAT"
Baginda s.a.w menjawab :
"JANGAN MARAH KEPADA ORANG LAIN NESCAYA ENGKAU AKAN TERSELAMAT DARIPADA KEMURKAAN ALLAH DAN RASULNYA"
Dia berkata :
"AKU MAHU DI TERIMA SEGALA PERMOHONANKU"
Baginda s.a.w menjawab :
"JAUHILAH MAKANAN HARAM NESCAYA SEGALA PERMOHONANMU AKAN DI TERIMANYA"
Dia berkata :
"AKU MAHU AGAR ALLAH MENUTUPKAN SEGALA KEAIBANKU PADA HARI QIYAMAT"
Baginda s.a.w menjawab :
"TUTUPLAH KEBURUKAN ORANG LAIN NESCAYA ALLAH AKAN MENUTUP KEAIBANMU PADA HARI QIYAMAT"
Dia berkata :
"SIAPA YANG TERSELAMAT DARIPADA DOSA?"
Baginda s.a.w menjawab :
"ORANG YANG SENTIASA MENGALIR AIR PENYESALAN, MEREKA YANG TUNDUK PADA KEHENDAKNYA (ALLAH) DAN MEREKA YANG DI TIMPA KESAKITAN"
Dia berkata :
"APAKAH SEBESAR-BESAR KEBAIKAN DI SISI ALLAH?"
Baginda s.a.w menjawab :
"ELOK BUDI PEKERTI, RENDAH DIRI DAN SABAR DENGAN UJIAN (BALA)
Dia berkata :
"APAKAH SEBESAR-BESAR KEJAHATAN DI SISI ALLAH?"
Baginda menjawab :
"BURUK AKHLAK DAN SEDIKIT KETAATAN"
Dia berkata :
"APAKAH YANG MEREDAKAN KEMURKAAN ALLAH DI DUNIA DAN AKHIRAT?"
Baginda menjawab :
"SEDEKAH DALAM KEADAAN SEMBUNYI (TIDAK DI KETAHUI) DAN MENGHUBUNGKAN KASIH SAYANG"
Dia berkata :
"APAKAH YANG AKAN MEMADAMKAN API NERAKA PADA HARI QIYAMAT?"
Baginda menjawab :
"SABAR DI DUNIA DENGAN BALA DAN MUSIBAH"

Telah berkata Imam Mustaghfirin : "Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat hadis ini"




99 nama ALLAH SWT

Bagaimana Mendapat Ketenangan Jiwa.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, tak sedikit juga yang keliru. Lihat saja apabila seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Tak sedikit yang menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan pil penenang. Sementara, ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya bukan ketenangan jiwa yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran yang diterima.

Kehidupan setiap hari dengan berbagai-bagai masaalah menyebabkan seseorang mendapat stress, risau, bimbang, gangguan emosi dan kemurungan. Kehidupan yang mencabar, keperluan dan tuntutan kehidupan yang meningkat, kos sara hidup yang tinggi kesemuanya menyumbang kepada keadaan jiwa yang tidak tenang dan memberikan tekanan jiwa yang amat membimbangkan. Apabila keadaan ini tak dapat dikawal dikhuatiri berbagai masaalah yang akan timbul, dan kadangkala boleh mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batasan manusia yang sihat. Contohnya faktor bunuh diri, penderaan seksual, penyiksaan fizikal terhadap kanak-kanak dan pembantu rumah,membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan, hinggakan ianya boleh sampai keperingkat membunuh orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Hakikat sebenarnya, tak ada seorang pun boleh terlepas dari masaalah kehidupan. Itulah sunatullah yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan takkan mampu menghalanginya.

Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap tekanan hidup itu agar jiwa menjadi tenang. Tak ada istilah stress atau kecewa bagi seorang Mukmin. Persoalannya Islam telah memberikan penyelesaian untuk menghadapi tekanan hidup. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:

1. Membaca dan mendengarkan kitab suci al-Qur'an :
Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah s.a.w.. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena," kata orang tersebut.

Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

Kedua, engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai saja di rumah, segera ia berwudhu kemudian diambilnya al-Qur'an dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah s.a.w tersebut.

2. Menyayangi orang miskin :
Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis dijelaskan bahwa para Malaikat selalu mendoakan orang-orang dermawan:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :“Setiap pagi hari dua Malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan do'a: ' Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang bersedekah. Dan Malaikat yang kedua pun berdo'a :' Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kedekut itu kebinasaan."

Dari hadis tersebut dapat disimpulkan bahwa orang yang dermawan itu memperoleh dua balasan. Pertama, ia mendapatkan ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain. Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan dari Allah s.w.t.

3. Melihat orang yang di bawah, jangan lihat orang di atas :
Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah s.w.t, meskipun nampak sedikit. Rasa syukur itu akan muncul bila kita senantiasa melihat orang-orang yang lebih rendah taraf kehidupannya dari kita, baik dalam segi harta kekayaan, tahap kesihatan, rupa paras, pekerjaan dan pendidikannya. Betapa ramai di dunia ini orang yang kurang bernasib baik. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga akan mendapat ganjaran dari Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

4. Menjaga perhubungan silaturahim :
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang memerlukan perhubungan sesama manusia, untuk bantu membantu sesama mereka. Berbagai keperluan hidup tak mungkin diperolehi tanpa bantuan orang lain. Oleh itu, di dalam hadis Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan silaturahim, sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda bahwa silaturahmi dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki . Hubungan yang baik di dalam keluarga, maupun dengan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan menyelesaikan berbagai masaalah yang dihadapi oleh masyarakat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (menjalinkan hubungan baik) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah s.w.t. memasukkan ke dalam Syurga."(Hadis Riwayat Ar-Rabii)

5. Banyak mengucapkan kalimah "la hawla wa la quwwata illa billah." dan berzikir kepada Allah.
Sumber ketenangan jiwa yang hakiki adalah bersumberkan dari Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah s.w.t. dalam semua keadaan, baik dalam keadaan senang maupun susah. Banyakkanlah berzikir dan membaca kalimah-kalimah Allah. Perhubungan yang kuat dengan Allah s.w.t. akan membuat jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah diganggu gugat oleh sesiapa pun, apabila hati sentiasa mengingati Allah maka syaitan laknatullah tidak akan dapat mempengaruhi hati dan fikiran kita.

6. Mengatakan kebenaran walaupun ianya pahit didengar :
Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangan. Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan terbina apabila kita tidak melanggar nilai-nilai kebenaran. Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang-orang kerap berbuat maksiat, kehidupannya dipengaruhi kegelisahan.

7. Sentiasa berlapang dada terhadap kecaman orang lain asalkan yang kita lakukan benar-benar kerana Allah :
Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerena selalu mengambil perhatian kecaman orang lain terhadap dirinya. Sedangkan seseorang akan memiliki pendirian yang kuat jika berpegang kepada prinsip-prinsip yang datang dari Allah s.w.t. iaitu Islam sebagai cara hidup. Sekiranya kita ikuti apa yang berlaku di dunia sekarang ini, ianya akan menganggu ketenagan jiwa kita.

8. Tidak meminta-minta kepada orang lain :
"Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah" adalah hadis Rasulullah s.a.w yang memotivasi setiap mukmin untuk hidup berdikari. Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain, kerana jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan. Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah. Hal ini tentu membuat jiwanya tidak tenang.

9. Menjauhkan diri dari berhutang :
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w dengan tegas mengatakan yang bermaksud : “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasakan keamanan!”
(Para sahabat) bertanya:" Bagaimana boleh terjadi seperti itu!"
Sabdanya :" Kerana hutang.”

Begitulah kenyataanya. Orang yang berhutang akan senantiasa bimbang dan risau, kerena ia akan didatangi oleh orang yang memberi hutang kepadanya. Inilah salah satu faktor yang membuat banyak orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah s.a.w juga mengatakan dalam hadisnya yang bermaksud : “Hendaklah kamu jauhi hutang, kerena hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari."

10. Selalu berfikiran positif :
Mengapa seseorang mudah stress dan jiwa tak tenang? Salah satu faktornya kerena ia selalu berfikiran negatif. Selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. Padahal, setiap kita diberikan oleh Allah s.w.t. berbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan keluh kesah yang membuat muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan ucapan yang mengembirakan. Ucapan yang mengembirakan akan membuat kita mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih bersemangat. Bukankah di balik kesulitan dan kegagalan ada hikmah yang boleh jadi pelajaran? Dan bukankah disebalik kesulitan ada kemudahan?




lafaz disaat sakinah

Mengumpat Merupakan Sifat Mazmumah

Sahabat yabg dirahmati Allah,
Lidah merupakan di antara nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada manusia. Kerana dengan adanya lidah, dapatlah manusia berhubung di antara satu sama lain. Dan kalau kita perhatikan benar-benar, lidah banyak sekali mendatangkan manfaat kepada manusia. Ia atau tidak, dapat kita mengkaji sendiri.

Di samping berbagai-bagai kebaikan yang diperolehi daripada lidah, banyak juga perkara-perkara yang buruk timbul daripadanya. Ini adalah kerana apabila lidah tidak dipelihara dengan bersungguh-sungguh, maka berbagai-bagai kejahatan akan timbul daripadanya.

Sahabat yang dimulaikan,
Abu Said al-Khudri r.a menceritakan, "Bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi maka bersegeralah segala anggota kepada lidah. Dan mereka semuanya berkata : 'Kami menuntut kepada engkau dengan nama Allah bahawa engkau benar atas petunjuk, kerana bahawasanya jika engkau lurus, kami akan lurus dan jika engkau bengkok nescaya kami akan bengkok.'."

Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan juga Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.

Sahabat yang dihormati,
Mengumpat atau menyebut kejelekan orang lain atau ghaibah adalah dilarang oleh Allah s.w.t. Begitu juga mengumpat adalah termasuk di antara bencana-bencana lidah yang sangat bahaya selain dari perbuatan dusta.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Hujarat ayat 12)

Imam Ghazali mengatakan bahawa mengumpat atau ghaibah adalah menyebut sesuatu yang tidak baik terhadap saudara sesama Muslim, yang jika ia dengar ia merasa marah. Samaada ia menyebut tentang kekurangan di dalam agamanya atau kecacatan tubuhnya, anak isterinya, gerak gerinya dan pakaiannya dari segala sesuatu yang berkaitan dengan dirinya samaada disebut dengan lidah, dengan tulisan atau menunjuk dengan jari.

Mengumpat adalah dosa yang amat berat di sisi Allah s.w.t.. Orang yang melakukan perbuatan itu diumpamakan oleh Allah s.w.t. sebagai memakan daging saudaranya yang telah mati. Ini jelas menunjukkan betapa hina dan buruknya perbuatan tersebut. Dan ia dianggap hina kerana menyinggung kehormatan orang lain yang sewajarnya dipelihara.

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Jelaslah pada hadis yang tersebut di atas bahawa Allah s.w.t. tidak mengampunkan dosa manusia yang berkaitan dengan diri manusia yang lain. Dia (tukang umpat) sendirilah yang terpaksa menyelesaikan atau meminta dihalalkan dosa mengumpat yang telah dilakukannya terhadap orang yang diumpat. Kalau sekiranya orang yang diumpat itu tidak dapat memaafkan kesalahannya itu, maka hal ini akan dibawa sehingga ke negeri akhirat.

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah s.a.w ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Sahabat,
Bila kita memperkatakan sesuatu yang benar ada pada diri seseorang juga dilarang. Kerana perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang yang diumpat jika didengarinya. Dan sudah menjadi fitrah manusia ia akan mudah tersinggung jika sesuatu keburukan atau kekurangannya disebut oleh orang lain.

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Empat perkara yang dapt membatalkan wudhu dan boleh menghapuskan amal iaitu ghaibah (mengumpat), dusta, mengadu domba dan memperhatikan kecantikan yang haram dilihat. Dan semua itu dapat menyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air menyuburkan tanaman, dan minum arak itu mengatasi semua dosa-dosa."

Jika seseorang mengumpat orang yang berbuat fasik secara terang-terangan atau ahli bid'ah, maka hal itu mendapat pahala sebab orang lain yang mendengarnya akan menjauhkan diri daripadanya. Ini bertepatan sekali dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Sebutan kejahatan orang yang melacur supaya orang lain berhati-hati daripadanya."

Dalam realiti kehidupan kita masa kini, budaya mengumpat sudah menjadi amalan kebiasaan, seseorang yang mengumpat ke atas saudaranya sudah tidak merasai satu kesalahan. Malahan keadaan yang lebih teruk daripada ini juga berlaku iaitu suasana fitnah memfitnah. Media masa dan internet telah menjadi alat untuk seseorang menabur fitnah dan mendedahkan keaifan orang lain tanpa merasa takut atas kemurkaan Allah s.w.t. Seolah-olah mereka yang membuat perbuatan dosa ini bahawa mereka tidak akan mati dan di hisab oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Kadangkala kita yang mendengar dan membaca berita mengumpat dan fitnah ini turut terlibat sama kerana mempercayainya dan menyampaikan pula kepada orang lain.

Apbaila seseorang itu telah terlanjur melakukan perbuatan mengumpat saudaranya sesama Muslim, maka ia hendaklah segera bertaubat dan meminta maaf kepada saudaranya sebelum ia mati atau sebelum orang yang diumpat itu mati.

Akhirkata, marilah sama-sama kita perbaiki akhlak kita, meningkatkan iman dan takwa dan meninggalkan segala sifat mazmumah termasuk mengumpat. Kita bina dan menyambungkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah sesama Muslim dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Aqidah dan iman yang kuat sahajalah yang dapat menghapuskan sifat buruk ini dari jiwa kita. Untuk mendapatkan aqidah dan iman yang kuat, kita hendaklah sentiasa mengikuti pengajian-pengajian agama dan majlis-majlis ilmu serta bercampur dengan masyarakat yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan bersahabat dengan orang-orang soleh.





rapuh

Kebaikan Dunia dan Akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat.Iaitu :
1.Hati yang sentiasa bersyukur
2.Lisan yang sentiasa berzikir
3.Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan
4.Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya.”

Sesungguhnya setiap insan dalam menghadapi gelombang kehidupan pasti menjadikan do'a sebagai senjata paling ampuh. Apatah lagi kehidupan seorang Muslim. Malah salah satu permohonan yang tidak pernah diabaikan adalah permintaan memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Permohonan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan terlepas dari bahang api Neraka. Do'a ini dirakamkan di dalam al-Quran.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.”
(Surah al-Baqarah ayat 201)

Merasai dan menikmati kebaikan yang dimaksudkan bukanlah hanya dengan kenikmatan yang bersifat dunia. Seperti dengan melimpahnya harta , kedudukan yang tinggi, isteri yang cantik, anak-anak yang ternama atau yang seumpamanya. Terdapat kebaikan yang lebih bererti dan bermakna sehingga sesaorang benar-benar menikmati kebaikan dunia dan akhirat. Inilah yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya di atas. Jelas dari hadis di atas apabila seseorang ingin mencapai kebaikan di dunia dan akhirat maka ada empat perkara yang mesti dimiliki dan dipertahankannya.

Pertama : Bersyukur .
Bersyukur kepada Allah bukan sekadar mengungkapkan kalimah hamdalah (alhamdulillah) dan terima kasih kepada Allah s.w.t. Ia tidak memadai dengan ucapan lisan tetapi mesti dibuktikan dengan amalan dalam bentuk pengabdian kepada- Nya. Bersyukur bukan hanya mengadakan kenduri kesyukuran sebagai tanda terima kasih kepada Allah.

Sesungguhnya syukur itu adalah menumbuhkan rasa syukur di dalam hati. Kemudian apabila hati telah merasakan rasa syukur, maka tingkahlaku yang kita perlihatkan merupakan lambang atau jelmaan dari rasa syukur. Sehingga segala tingkah laku kita tidak ada penyimpangan dan penyelewengan dari jalan Allah. Segalanya menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada-Nya. Sesungguhnya tingkah laku manusia adalah refleksi dari apa yang ada di dalam hatinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam diri terdapat segumpal darah, bila baik segumpal darah ini, maka baiklah seluruh tubuhnya. Dan jika buruk, maka buruklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah segumpal darah itu adalah hati.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu apabila kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, maka segala pemberian Allah pasti terasa nikmat. Dan Allah akan terus menambah rasa nikmat itu. Namun jika kita tidak pandai bersyukur, maka Allah mengingatkan bahawa azab-Nya sangat pedih.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7).

Kedua : Berzikir
Setiap Muslim amat dianjurkan untuk berzikir dengan lisan setiap hari.Apabila lisan telah biasa dengan zikir, insya Allah segala kata-kata yang lahir adalah perkataan yang baik (kalimah tayyibah). Seutama-utama zikir dengan lisan adalah mengucapkan kalimah Laailaahaillallah. Menyebut nama Allah memang mesti sentiasa kita lakukan baik ketika hendak melakukan sesuatu yang baik maupun sesudahnya.Rasulullah sendiri sentiasa berzikir kepada Allah dalam berbagai situasi dan keadaan. Perintah untuk sentiasa berzikir begitu banyak dirakamkan dalam al-Quran.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada Allah pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Ahzab ayat 41-42)

Apabila di dunia kita sentiasa membasahi lidah denga zikir kepada Allah, nescaya kebaikan dunia akan kita raih dan secara tidak langsung akan kita raih juga kebaikankan ukhrawi.

Amalkanlah zikir al-Mathurat (himpunan zikir dan wirid) pada waktu pagi dan petang kerana zikir dan wirid ini adalah amalan yang di buat oleh Rasulullah s.a.w. Amalkanlah insya Allah ianya merapatkan hubungan hati kita dengan Allah s.w.t.


Ketiga : Bersabar.
Ujian dan cubaan bagi manusia yang hidup tentu akan datang silih berganti. Kadangkala ujian itu dalam bentuk perkara duniawi yang menyenangkan seperti harta yang banyak, kedudukan yang tinggi, wajah yang cantik atau tampan, ilmu yang luas dan sebagainya. Namun tidak sedikit ujian itu dalam bentuk yang tidak menyenangkan secara duniawi sehingga perkara ini disebut sebagai musibah, seperti penyakit, kemiskinan ,kedudukan yang rendah, kurang pandai dan sebagainya.Terlepas dari menyenangkan atau tidak ,seorang Muslim mesti tabah dan istiqamah dalam menghadapi berbagai bentuk ujian dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan sungguh akan Kami berikan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mengucapkan. ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah al-Baqarah ayat 155-157)

Orang yang sabar dan istiqamah dalam menghadapi berbagai ujian Allah merupakan orang yang akan mendapat kebahagiaan dalam hidupnya kerana dalam keadaan yang demikian dia tidak tergelincir kejalan yang salah sehingga kebaikan di dunia dan akhirat diraihnya. Dengan sabar, seseorang akan sentiasa sedia menghadapi segala kemungkinan dalam hidupnya sehingga ia tak akan lupa diri dalam kejayaan dan keberhasilan serta tidak putus asa dalam kesengsaraan dan kesulitan.

Keempat : Isteri yang solehah.
Memilih isteri yang solehah merupakan suatu kewajipan bagi seorang Muslim. Bersama isteri yang solehah bermakna terbina rumahtangga yang bahagia dan akan menghasilkan generasi yang soleh. Isteri yang solehah bukanlah diukur dengan kecantikan, kekayaan ,status sosial dan seumpamanya.Lebih penting lagi adalah iman dan aqidah yang mantap, akhlak yang mulia dan sentiasa berfikir serta bertindak ke arah masa depan yang lebih baik sebagaimana yang di kehendaki dalam Islam.Antara kelebihan memilih isteri solehah adalah ia membantu suaminya dalam kepentingan akhirat .

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash . Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri solehah yang membantu kepentingan akhirat suaminya.”
(Hadis Riwayat Ruzain)

Seorang isteri solehah juga akan mentaati kepimpinan suaminya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Seorang perempuan yang beriman kepada Allah tidak halal mengizinkan orang yang dibenci suaminya memasuki ke rumahnya, tidak boleh keluar jika suaminya tidak menyukainya, tidak boleh mentaati seorang pun di rumah suaminya (kecuali suaminya), tidak boleh meninggalkan tempat tidurnya dan tidak boleh memukul suaminya. Jika suaminya berlaku zalim kepadanya, hendaklah ia tetap di sisi suaminya sehingga ia dapat menjadikan suaminya senang. Jika suaminya mahu menerimanya hal itu sangat menguntungkan dirinya dan Allah pun akan menerima alasannya, memenangkannya dan dia tidak berdosa sedikit pun. Sekiranya suaminya tetap tidak meredhainya, sesungguhnya alasannya di sisi Allah tetaplah kuat.”
(Hadis Riwayat Hakim)

Oleh itu amatlah penting memilih isteri yang solehah, maka seorang pemuda yang akan menamatkan zaman bujangnya mestilah memilih wanita yang demikian sebagai calun isteri. Sementara wanita yang telah menjadi isteri mesti terus membina kesolehannya.Seterusnya apabila ibu bapa yang memiliki anak yang solehah, apabila ada pemuda yang juga soleh datang melamar, maka tiada alasan bagi ibu bapa untuk menolak lamarannya. Apatah lagi bila kedua insan yang soleh bersepakat untuk mewujudkan rumah tangga Islam.

Kesimpulannya:
Dari huraian di atas jelas bahawa kehidupan yang hasanah (baik) di dunia tidak hanya di ukur semata-mata dengan melimpahnya kebendaan dan perkara-perkara yang bersifat kesenangan dunia. Namun kehidupan yang hasanah bagi seorang Muslim adalah bila dia mampu menjalankan kehidupan sesuai dengan nilai-nilai Islam sehingga amal solehnya lebih banyak berbanding amal-amal yang tidak baik.

Dengan mengerjakan amal soleh seorang Muslim mesti secepat mungkin melaksanakannya. Jangan sekali-kali dia menunda-nunda melakukan amal soleh hanya kerana kemalasannya. Disamping itu dalam beramal soleh seorang Muslim juga tidak boleh merasa sudah banyak pahala yang di perolehi malah sebaliknya, iaitu merasa masih terlalu sedikit amalannya. Kita mesti rakus dan sentiasa merasa kurang senang dalam beramal soleh. Ini kerana apabila kita merasakan telah banyak amalan kebaikan maka keghairahan untuk memperbanyakkan amal soleh akan hilang dari diri kita.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”
(Surah al-Kahfi ayat 110)

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Telalu banyak nikmat daripada Allah s.w.t. yang telah kita terima. Nikmat iman, nikmat Islam, nikmat kesihatan dan nikamt kehidupan. Sekiranya kita beribadah selama seribu tahun sekali pun namun kita tidak akan dapat membalas segala nikmat dan kebaikan yang kita perolehi daripada Allah s.w.t.

Tanda kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. kita diminta hanya untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Salah satu sifat yang mulia yang perlu ada pada orang yang beriman adalah sifat pemurah dan ada perasaan belas kasihan dan suka membantu kepada golongan fakir-miskin dan anak-anak yatim. Hidup ini akan lebih harmoni hanya apabila kita banyak memberi bukan menerima.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan untuk diri sendiri, untuk orang lain dan persekitarannya. Dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.

Tetapi reality masyrakat kita hari ini ramai yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesusuhan orang lain. Mereka merebut-rebut peluang yang ada dengan menggunakan apa cara sekali pun asalkan berhasil walaupun terpaksa merampas hak orang lain, rasuah dan mengunakan cara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kenapakah mereka terpaksa memburu kekayaan dan berebut-rebut tanpa menghiraukan batas-batas akhlak Islam? Ini adalah kerana dalam jiwa mereka telah tertanam cinta dunia untuk mencari kemegahan dan kemewahan hidup demi memenuhi kehendak nafsu amarah yang tidak puas-puas!

Sahabat yang dimuliakan,
Islam mewajibkan zakat adalah semata-mata untuk membersihkan harta yang dimiliki, supaya terhindar perasaan tamak haluba dan mementingkan diri sendiri. Zakat dapat menaikkan ekonomi umat Islam dan dapat membantu merapatkan jurang diantara orang miskin dan kaya sekali gus membaiki hubungan sosial dalam masyarakat Islam.

Selain zakat Islam menggalakkan umatnya yang berkemampuan untuk memberikan sedekah jariah dan memberi bantuan secara suka rela tanpa mengharapkan balasan duniawi, melainkan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.

Dalam hadis Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah s.w.t di alam Barzakh.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’. Justeru, Allah itulah Zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang banyak memberi. Jika kita banyak memberi akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat.

Sahabat,
Senyum itu adalah sedekah. Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan seharian. Pada hari yang ceria dan gembira, itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira, gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyum ada dua.

Pertama, senyum kerana gembira. Kedua senyum untuk mengembirakan. Senyum pertama kerana mendapat kegembiraan. Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan.

Senyum untuk mengembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah s.w.t.

Akhirkata, berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana disana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Memang benar kita yang memerah keringat, kita yang berusaha dan berfikir. Tetapi… kita perlu ingat siapa yang mencipat otak, tangan, kaki, mata, telinga, memberi tenaga, kesihatan, siapa yang menciptanya? Semua ini bukan milik kita,segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam.

Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Dari itu teruskanlah memberi, insya Allah ganjaran besar akan diberikan Allah s.w.t. dihari Akhirat nanti.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Sedarkah kita semua, bahawa masa berlalu terlalu pantas dan umur kita semakin meningkat, kita masih lalai sehingga kita lupa bahawa sedetik masa berjalan kematian sedang menggamit kita dan kita semakin hampir dengannya. Seperti mana kita ketahui bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku. Satu hakikat atau kenyataan yang di lalui oleh setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Manusia adalah Khalifah Allah di dunia ini. Oleh itu mereka akan di pertanggungjawabkan dengan amanah Allah s.w.t. untuk menegakkan Syariat Islam dan memakmurkan alam ciptaan Ilahi dengan mentaati segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.

Sahabat yang dimuliakan,
Kita sering mendengar berita tentang kematian , tetapi sejauh mana kita mengambil iktibar di atas peristiwa yang berlaku keatas keluarga kita , sahabat handai ,jiran tetangga dan masyarakat setempat.
Renunglanlah buat keinsafan kita bahawa kematian berlaku di mana-mana sahaja , dan berlaku dalam berbagai bentuk . Ada kematian di sebabkan kemalangan jalan raya , sakit tua ,sakit jantung , lemas di laut dan berbagai-bagai lagi jenis kematian yang dapat di saksikan. Hanya Allah s.w.t. sahaja mengetahui nasib sesaorang di akhir hayatnya.

Oleh itu sebagai orang yang beriman kepada Allah s.w.t, hendaklah sentiasa berdo'a agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah (penutupan akhir hayat yang baik). Bukan dalam keadaan su'ul khatimah (penutup akhir hayat yang tidak baik), na'uzubillahiminzalik!

Semua manusia tidak tahu bilakah dia akan di panggil pulang untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Dengan erti kata lain, sesiapa pun tidak tahu bilakah nyawanya akan di cabut oleh Malaikat Maut , di tempat manakah badannya akan terkejur sejuk kedinginan dan tidak bergerak lagi,ketika itu roh akan naik kelangit dan kita pun tidak mengetahui samaada roh kita akan di terima untuk berhimpun bersama arwah para Anbiya , Syuhada' dan ulama' atau adakah roh kita akan di tolak lalu di campakkan ke jurang api Neraka.

Justru itu marilah sama-sama insafi diri kita bahawa saat kematian sesuatu hakikat yang pasti akan terjadi ,ianya tidak boleh di tangguhkan atau di percepatkan, walaupun satu saat apabila ajal sudah tiba , janji Allah s.w.t pasti akan di tunaikan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). (Surah Al-Jumaah ayat 8 )

Berlaku suatu peristiwa di zaman Nabi Sulaiman a.s ,apabila baginda mengadakan jamuan untuk rakyat jelata ,terdapat seorang tetamu yang tidak di kenali memerhatikan seorang rakyat Nabi Sulaiman a.s dengan pandangan yang menakutkan, lantas lelaki tersebut bertanya kepada baginda siapakah orang tersebut, lalu baginda menyatakan orang tersebut adalah Malaikat Maut. Lalu lelaki tersebut meminta Nabi Sulaiman a.s membawanya jauh ke negeri India dengan bantuan angin. Baginda bersetuju memenuhi permintaan lelaki tersebut dan dia pun di hantar ke India.

Sampai sahaja di India Malaikat Maut sudah menunggu dia di sana dan lelaki tersebut pun di cabut nyawanya dan mati di situ juga. Apabila baginda berjumpa Malaikat Maut baginda bertanya kepadanya kenapakah dia memandang cara menakutkan pada lelaki tersebut , Malaikat Maut berkata dia merasa hairan , sepatutnya dia mencabut nyawa lelaki tersebut di negeri India dalam masa terdekat tetapi orang yang akan di cabut nyawa itu masih berada di Palestin. Semua peristiwa yang berlaku ini adalah telah di tentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi, manusia hanya boleh merancang tetapi keputusan terakhir adalah dari Allah s.w.t semata-mata.

Sahabat yang dihormati,
Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi."
Para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w , "Bagaimana hendak mengubatinya ,Ya Rasulullah ?"
Maka Rasulullah s.a.w menjawab, "Tilawah al-Quraan dan mengingati mati."

Mengingati mati adalah pencuci hati yang sangat berkesan. Dari sanalah kita akan memasuki pintu keinsafan dan kesedaran. Marilah sama-sama kita mengambil peluang yang di sediakan ini sebagai seorang individu Muslim Mukmin yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t dan mencintai Rasulullah s.a.w.

Kita akan berfikir dan membuat pertimbangan terhadap sesuatu perkara yang mahu di lakukan bukan hanya untuk masa yang terdekat , tetapi kita akan berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya yang menjangkau wawasan akhirat yang lebih jauh dari itu. Kita berfikir bagaimana nasib yang akan di lalui di alam kubur nanti, di Padang Mahsyar , ketika di hisab dan ketika di hadapan kepada Mahkamah Tuhan Rabbun Jalil.

Marilah kita sama-sama membuat persediaan yang sempurna serta perancangan yang teratur untuk kita dapat selamat daripada api Neraka dan mendapat keberuntungan yang sangat besar dengan memasuki Syurga yang penuh dengan segala kenikmatan dan kelazatan yang tidak terhingga.

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam al-Qur'an terdapat satu surah yang bernama Surah Luqman. Surah ini memaparkan satu kisah mengenai Luqman al-Hakim yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah s.w.t., membanteras syrik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela yang merupakan tujuan utama mengapa al- Qur'an diturunkan.

Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya. Dari ayat-ayat tersebut dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk mencapai kejayaan di dalam mempelajari pendidikan Islam berdasarkan sistem pendidikan Luqman, ketiga-tiga asaas tersebut perlulah difahami dan dihayat untuk diri kita dan untuk mendidik anak-anak kita. Ketiga-tiga asas pendidikan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Asas Aqidah,
Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan Muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan ikhtikad dan keyakinan.

Dewasa ini didapati beberapa bentuk penyelewengan berlaku sama ada dari segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap asas aqidah Islam secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.

Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
(Surah Luqman ayat 13)

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.

Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar." (Surah An- Nisaa' ayat 48)

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah ditanya, yang manakah dosa yang paling besar? Baginda menjawab : "Bahawa engkau jadikan bagi Allah penyerupaan, saingan atau persamaan sedangkan Dia menjadikan engkau."

Kedua : Asas Ibadah,
Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.

Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah s.w.t, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah s.w.t.

Solat adalah saluran utama hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Ia merupakan pancaran yang menghidupkan dan menyuburkan keimanan dalam hati, kerana dengan bersolat seorang akan mengingati Allah melalui segala bacaan yang dibaca sepanjang solat. Dalam solat seseorang akan mengingati hari akhirat, ingat kepada Rasul, Malaikat, seterusnya kepada kitab yang diturunkan kepada Rasul iaitu al-Qur'an. Solat juga dapat mencegah seseorang daripada mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa solat adalah manisfetasi daripada keimanan kepada perkara-perkara ghaib.

Daripada aspek kejiwaan, solat mendidik seseorang agar mencapai ketenangan jiwa, memberi kekuatan dalaman kepada seseorang untuk menempuh penderitaan hidup di dunia ini. Daripada aspek kesihatan, solat mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan, melatih badan supaya cergas dan aktif. Daripada aspek akhlak, solat dapat menyedarkan seseorang terhadap kesalahannya, dapat menghapuskan dosa, dapat mencegah seseorang daripada kemungkaran dan mendidik seseorang supaya berdisplin dengan waktu.

Dan yang terakhir daripada aspek kemasyarakatan, solat melahirkan individu yang memiliki kemerdekaan jiwa, kemerdekaan dalam memberi teguran dan pandangan, memupuk persaudaraan dan melahirkan persamaan tanpa mengira pangkat kedudukan, harta kekayaan, mulia dan hina, tua dan muda. Semuanya sama dihadapan Allah.

Ketiga : Asas Akhlak.
Misi Islam sebenarnya ialah pengarahan manusia supaya mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur, yang sesuai dengan kemuliaan manusia. Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah di sebalik kehidupan sekarang ini. Dalam pendidikan Luqman asas ini ditekankan kepada beberapa perkara pokok iaitu :

1.Berbakti kepada kedua ibu bapa :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "(Surah Luqman ayat 14)

2.Bersifat sabar :
Firaman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat di ambil berat untuk melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)

3.Tidak takbur dan sombong :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Surah Luqman ayat 18)

Takbur ialah sikap jiwa yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, samaada orang itu manusia atau jin. Sikap takbur inilah menyebabkan Iblis telah dilaknat oleh Allah s.w.t. dan akan dihumbankan kedalan api Neraka.

4.Kesederhanaan dalam semua perkara :
Kesederhanaan ini berlaku kepada keseluruhan sistem termasuk urusan ibadah. Seseorang Islam tidak digalakkan beribadah sehingga menyeksa diri sendiri kerana setiap diri itu ada hak yang mesti diberikan, seperti mana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Sesungguh bagi tubuh badan ada haknya yang mesti kamu berikan kepadanya."

Begitu juga dalam urusan membelanjakan harta, Islam tidak menggalakkan umatnya supaya berbelanja secara berlebih-lebihan dan boros atau menyayangi harta hingga engan bersedekah dan infak di jalan Allah.

Dalam konteks pendidikan Luqman didapati dua aspek ditekankan iaitu:
Pertama : Sederhana sewaktu berjalan, firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan sederhanakanlah langkahmu sewaktu berjalan." (Surah Luqman ayat 19).

Kedua : Sederhana waktu bercakap., firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara itu suara keldai." (Surah Luqman ayat 19).

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila dilihat daripada aspek pengajaran, didapati bahawa Luqman al-Hakim mempunyai pendekatan tertentu tentang pendidikan anaknya. Dan darisegi metodnya pendidikan Luqman mempunyai dua sifat utama iaitu pertama, pendidikan yang bersifat melengkapi dan menyeluruh dan keduanya, pendidikan yang bersifat pemeringkatan dan menurut susunannya tersendiri.

Oleh itu sebagai individu Muslim Mukmin mempunyai tanggung jawab mendidik anak-anak dan juga generasi umat Islam hari ini maka ambillah contoh dan cara-cara yang dilaksanakan oleh Luqman yang diceritakan kisah beliau dalam al-Qur'an.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk Syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa.

Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam Neraka.

Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah Orang Muflis kerana semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“

Anggota manusia yang paling bahaya adalah lidah dan tangan. Walaupun lidah itu lembut dan tidak bertulang tetapi apabila silap menggunakannya banyak mengumpat, memfitnah, berdusta, mungkir janji dan mengadu domba, maka tuan yang memiliki lidah ini akan menanggug azab di akhirat nanti dan ianya akan menanggung azab yang pedih iaitu di masukkan ke dalam api Neraka.

Hidup di zaman siber ini, cabarannya amat hebat. Bertugas sebagai pengarang media, wartawan, penulis blog, penulis bebas, pengulas dan pengacara radio dan tv dan ahli -ahli politik, kesemua mereka ini amat perlu berhati-hati di dalam memberi apa-apa pandangan dan ulasan mengenai peribadi sesaorang yang ingin di nyatakan. Apa sahaja isu yang ingin di ketengahkan pastikan ianya sahih dan bukan andaian sesaorang sahaja.

Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan juga Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.

Sekiranya apa yang di katakan tidak betul dan berbentuk fitnah dan mengumpat, mereka akan di pertanggung jawabkan di hadapan Allah s.w.t, nanti di hari akhirat. Tangan yang menulis dan lidah yang berkata-kata ini akan menjadi saham untuk memotong amalan-amalan kebajikan pelaku-pelakunya untuk di berikan kepada mangsa-mangsa yang teraniaya di atas perbuatannya.

Bayangkanlah sekiranya berita palsu tersebut telah tersebar di dalam internet dan di baca atau di dengar oleh berjuta-juta manusia di dunia ini, macamana kita hendak tarik balik berita tersebut? Oleh itu berhati-hatilah sebelum membuat sesuatu tindakan supaya amalan kebajikan kita tidak menjadi sia-sia dan tidak dapat membantu kita di akhirat nanti kerana telah habis di bayar hutang untuk dosa-dosa kita.

Dari itu kita perlulah membuat persiapan di dunia ini dengan mengerjakan amalan-amalan soleh dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. dan tinggalkan segala perbuatan dosa dan menyakiti orang lain supata kita tidak menjadi Orang Muflis. Hanya melalui proses tarbiyyah imaniah yang berterusan sahaja akan dapat memandu kita di jalan yang lurus dan di redhai Allah s.w.t.




persinggahan

CONTOH SIFAT-SIFAT MAHMUDAH

1. Sifat kasih sayang

Dengan pandangan mata hati (mata roh) kita akan dapat mengesan adanya
benih kasih sayang dalam hati. Ia adalah fitrah semula jadi yang murni.
Yakni hati terasa terhutang budi kepada orang yang membantu atau berjasa
kepada kita. Mengikut istilah syariat dikatakan rasa syukur atau rasa
hendak balas budi. Ini sifat baik (positif). Apabila didapati ada
sifat-sifat ini dalam hati hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan
dikekalkan serta dilaksanakan supaya kita jadi orang yang berterima
kasih pada manusia. Lebih-lebih lagi bersyukur kepada Allah kerana
nikmat-Nya yang tidak pernah putus-putus. Rasa kasih sayang ini
diperintahkan oleh Allah dan Rasul. Rasulullah bersabda:

Maksudnya: "Barang siapa yang tidak mengasihi sesama manusia maka
dia tidak dikasihi Allah." (Riwayat Tirmizi)

Hadis ini menyuruh kita untuk berkasih sayang. Ia mendorong kita untuk
saling mengasihi antara manusia dan makhluk Allah yang lain. Suburkan
dan tajamkan lagi sehingga matang bersama matangnya jasad lahir kita.
Lakukan bermacam-macam cara untuk suburkan sifat kasih sayang ini.

2. Rasa simpati, timbang rasa atau tolak ansur Benih rasa simpati atau
timbang rasa ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan
orang yang mendapat kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan
membantunya tetapi secara automatik timbul rasa belas kasihan atau
simpati itu. Setelah dikesan didapati ada sifat baik ini maka mestilah
disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya mendorong kita menolong orang yang
susah atau sanggup bersusah payah untuk berkhidmat dan berbakti pada
orang lain. Syariat juga menyuruh kita bersimpati atau bertimbang rasa
atau bertolak ansur pada orang. Sabda Rasulullah SAW:

"Khairu an-Nas anfa'uhum linnas"

Maksudnya: "Sebaik-baik manusia diantara kamu adalah yang paling
banyak manfaatnya bagi manusia yang lain". (HR Bukhari dan Muslim)

3. Rasa malu
Benih rasa malu dapat dikesan wujudnya dalam hati, lebih-lebih lagi bila
kita berbuat salah. Rasa malu bila orang lain tahu. Ini mesti disuburkan
supaya dapat membendung kita daripada berbuat salah, sekalipun
kesalahan-kesalahan dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Ini juga
mendorong kita segera bertaubat apabila bersalah. Seterusnya ia akan
menyuburkan sifat jujur (berlaku benar), ikhlas dan amanah terhadap
Allah dan Rasul serta manusia seluruhnya.

4. Rasa sukakan ilmu pengetahuan
Benih rasa sukakan ilmu pengetahuan dapat dikesan ada dalam hati bila
ada perasaan ingin tahu, ingin pandai, ingin menyiasat, ingin memiliki
ilmu sepertimana orang yang sudah ada ilmu, ingin amalkan, ingin
membaca, mengkaji, menilai dan prihatin pada satu-satu perkara atau
ingin mencari pengalaman sebanyak-banyaknya. Bila didapati benih sifat
baik ini ada dalam hati maka suburkan dan dorong lagi supaya kecintaan
kepada ilmu bertambah. Ini bersesuaian dengan perintah Allah dan
Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."

Maksudnya: "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China, menuntut ilmu itu
wajib bagi setiap orang Islam." (Riwayat Ibnu Abdul Bar dari Anas)

Bertambahnya ilmu dan pengetahuan memberi kesan lahiriah yang baik pada
akhlak dan perbuatan seseorang itu seperti berani, pandai, berwibawa,
cakapnya bernas, hidup tidak buntu, kreatif dan lain-lain lagi.



Perlu diingat bahawa sifat-sifat yang baik yang disebut di atas tadi dan
banyak lagi sifat-sifat mahmudah lainnya itu, ia wujud bersama dengan
jasad lahir. Rasa-rasa itu semuanya tidak perlu dipelajari dan tidak ada
guru yang mengajarinya. Ia adalah perasaan semula jadi yang murni yang
ada dalam hati. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa
bersama dewasanya tubuh kasar.

Benih-benih sifat-sifat mahmudah tersebut mesti dikenal pasti dengan
menggunakan teropong mata hati serta dibantu oleh ilmunya. Kemudian
sifat-sifat baik ini hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan didorong
lagi supaya kita dapat mengekalkan sifat-sifat mahmudah itu dalam diri.
Dengan itu lahirlah akhlak-akhlak yang baik, tindakan-tindakan yang
mulia dan perbuatan-perbuatan yang terpuji dalam kehidupan kita.




Alahamdulillah