Ahad, Jun 6

Sifat & Iman Orang2 Mu'min Bila Di Uji Allah?

Rasulullah bersabda mafhumnya:
Allah tidak menguji hambaNya yang Mukmin dengan satu musibah, pada dirinya, hartanya atau anaknya, melainkan kerana salah satu dari dua perkara: Mungkin kerana dia memiliki dosa yang tidak dihapus kecuali dengan cara ini, atau mungkin kerana dia berhak mendapatkan darjat di sisi Allah yang tidak dicapai kecuali dengan cara ini.

Dalam riwayat Ahmad disebutkan:
Jika Allah menguji hambaNya yang Muslim dengan suatu musibah pada tubuhnya maka Dia berfirman kepada malaikat ”tulislah baginya pahala kebaikan amal yang dia lakukan”. Jika Allah menyembuhkannya maka dia mencucinya dan membersihkannya. Jika Allah mencabut nyawanya maka Dia mengampuni dosanya dan merahmatinya.

Jadi berbaik sangkalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa musibah yang menimpa manusia merupakan kebaikan bagi manusia. Itu sudah pasti, hanya manusia sahaja yang tidak mengetahuinya. Firman Allah:

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi mu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi mu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. Al Baqarah:216.

As Syuura: 30
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.


Rasulullah bersabda mafhumnya:
Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak menurunkan penyakit melainkan Dia juga menurunkan ubatnya yang akan diketahui siapa pun yang mengetahuinya dan tidak diketahui siapa pun yang tidak mengetahuinya. Jika suatu ubat dapat menyembuhkan penyakit maka orang yang sakit akan sembuh dengan seizin Allah.

Itulah sebabnya Nabi SAW berdoa dengan ucapannya “Ya Allah Engkaulah Zat yang menyembuhkan dan tidak ada penyembuhan kecuali penyembuhan dari Mu”. Kita harus faham bahawa yang menyembuhkan adalah Allah bukan doktor atau ubat. Maka hendaklah kita bergantung kepada Allah semata-mata bukan kepada sebab-sebab, yang membuat hati kita bergantung kepada sebab dan akhirnya menimbulkan syirik.

Tidak ada salahnya kita mengambil sebab tetapi dengan syarat agar hati kita tidak bergantung kepada sebab lalu melupakan pembuat sebab iaitu Allah Azza wa Jalla. Maka hendaklah kita bebaskan hati kita semua dari kebergantungan kepada makhluk dan hendaklah hati kita bergantung kepada Allah SWT. Inilah sebab penyembuhan, insya-Allah.

Ada seseorang pernah berkata kepada Nabi SAW “aku adalah orang yang dapat mengubati”. Maka baginda bersabda mafhumnya: “Allahlah yang dapat mengubati. Yang lebih tepatnya, engkau adalah rafiq (pendamping) sedangkan yang mengubati adalah yang menciptakanya”. Janganlah kita mengakui bahawa kita adalah tabib kerana Nabi SAW menegaskan “Engkau adalah Ar Rafiq sedangkan Allah adalah tabib yang menyembuhkan”

Al Quran memantapkan fahaman ini dengan doa Nabi Ibrahim dalam As Syu’ara’:80 “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkannya”

Allah menegaskan bahawa Allah SWT memberikan penyembuhan kepada sesiapa pun yang mahu mengambil sebab dengan syarat dia harus yakin bahawa ubat itu adalah merupakan sebab, bahawa dalam ubat itu tidak ada kekuatan dalaman untuk menyembuhkan kecuali jika Allah menghendakinya. Sesiapa yang yakin bahawa sebab itu sendiri yang mendatangkan pengaruh maka keyakinan ini salah dan boleh menyebabkan syirik.